nuffnang

Tuesday, September 13, 2011

Analisis Puisi Romantis : Puisi Kekasih Usman Awang & Puisi Doa Amir Hamzah


Tugasan Kesusasteraan Melayu
yang dilakarkan
Sekadar untuk perkongsian ilmu

1.1 Pendahuluan

Bak kata pepatah Melayu, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad Usman Awang pergi menemui Ilahi, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Karya lakaran jiwanya terus bernafas, berdenyut sepanjang masa dalam nubari.

Usman Awang ialah penulis besar sepanjang zaman. Beliau pernah menerima anugerah Pejuang Sastera daripada Perdana Menteri Malaysia pada 29 Mei 1976. Pada tahun 1982, beliau menerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (S.E.A Write Award) di Bangkok dan setahun kemudian beliau diiktiraf pula oleh Universiti Malaya kerana sumbangannya dalam bidang penulisan dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan. Pada tahun yang sama, Usman Awang turut menerima anugerah sastera tertinggi negara, iaitu Anugerah Sasterawan Negara sebagai kemuncak pengiktirafan rakyat dan negara terhadap sumbangannya dalam bidang sastera yang tidak ternilai itu. 

Karyanya terus segar, bukan sahaja dari segi mutu dan daya tarikan mengikut ukuran zamannya, tetapi juga sukar dinafikan kedudukannya dalam zaman yang lain. Ertinya di sini, puisi Usman Awang berupaya merentas dekad dan tidak syak lagi akan terus hidup pada abad akan datang dan dijangka kian jauh masa meninggalkannya, kian hebat puisinya diterima kerana memang itulah hakikat puisi Usman Awang. Karya yang baik akan terus kekal diingati dan diperkatakan, malah tetap lekat di benak pada tapisan masa.

Sementara itu, nama penuh Amir Hamzah ialah Tengku Amir Hamzah bin Tengku Haji Adil. Ia merupakan cucu Tengku Hamzah dan cicit Sultan Musa, Raja Langkat pertama yang bergelar Sultan. Amir Hamzah dilahirkan pada 28 Februari 1911 dan mangkat pada 20 Maret 1946. Ia dipancung (disembelih) di Kuala Begumit oleh seorang tukang pancung (algojo) bernama Mandor Wijaya Wiryosentono, pada saat meletusnya revolusi sosial di daerah itu (Harun Daud, UKM).

Kumpulan puisi Nyanyi Sunyi adalah antara karya terkenal beliau. Karya-karya puisinya banyak mengungkapkan tema keagamaan dan rasa cinta kepada Tuhan yakni memperlihatkan adanya unsur mistik.  Unsur-unsur mistik yang dibicarakan ialah hubungan dan rasa cinta seorang insan yang tidak berubah terhadap Allah.

1.2 Puisi romantis Usman Awang dan Amir Hamzah dalam sajak Kekasih dan Doa

Puisi Kekasih merupakan puisi terkenal karya Usman Awang yang bernada romantis dan melankolik. Puisi yang bertemakan tentang kasih sayang, harapan dan percintaan antara gadis dan sang jejaka. Usman Awang ialah seorang lelaki berjiwa sangat romantis dan mempunyai naluri penyayang serta menghargai insan bergelar wanita. Salah satu aspek yang menampilkan citra dan pemerihalan berhubung dengan wanita adalah berupa ungkapan perasaan kasih dan cinta kepada wanita yang mendapat tempat istimewa di sudut hatinya.

Puisi Kekasih  mengisahkan tentang lelaki tersebut yang menginginkan suasana lembut dalam alam perkasihan dan kehidupan, ini dapat dikesan melalui bait-bait puisinya dimana metafora yang digunakan banyak menggambarkan emosi lelaki tersebut. Sajak ini turut memaparkan jiwa lelaki yang romantik dengan mewujudkan suasana sekeliling. Imej awan gemawan, ombak, bintang dan objek-objek yang datang dari alam sekeliling merupakan pelambangan harapan dan keinginan lelaki tersebut membina suasana romantik ketika berdua.

Kemuncak pada keromantisan jiwa penyair Usman Awang diperlihatkan melalui untaian kata-kata dalam puisi yang menjadi lambang kepada keagungan dan kesetiaan cinta seorang lelaki kepada wanita yang menjadi kekasihnya. Melalui puisi “Kekasih” ini, jelas menunjukkan beliau seorang lelaki yang begitu perasa dan pemimpi. Dengan segala kehalusan dan kelembutan perasaannya, Usman Awang banyak merenungi alam dan tersentuh dengan segala nuansanya. Unsur-unsur keindahan alam ciptaan Tuhan telah dikutip dan digarap ke dalam karyanya, sehingga menghasilkan bait-bait ungkapan puitis dan indah yang di dalamnya melimpahkan perasaan kasih sayang, keinginan, harapan, dan cita-cita seorang lelaki. Seorang lelaki yang sanggup berbuat apa sahaja demi membuktikan cinta kasihnya terhadap wanita yang dikasihi dan dicintainya. Penyair Usman Awang dikesan meluahkan perasaan tersebut melalui baris-baris puisinya, seperti dapat dilihat dalam bait sajak ini:

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu.


Dalam puisi “Kekasih” di atas, gelora jiwa lelaki penyair yang romantis dapat dikesan berdasarkan pemilihan dan penggunaan diksi puitis yang berasaskan unsur-unsur keindahan alam. Pemilihan dan penggunaan aksara seperti “buih-buih”, “gelombang-gelombang”, “awan-gemawan”, “bayu gunung”, “bintang timur”, “bulan gerhana”, “matari”, dan “laut” dalam puisi di atas melambangkan isi hati dan rasa penghargaan yang tidak terhingga daripada belahan jiwa penyair terhadap kekasih hati. Ini bermakna, melalui karya-karyanya, Usman Awang menyerlahkan perasaan kasih sayang dan rasa kemuliaan terhadap wanita.

Namun demikian, sebenarnya kalau dilihat dari sudut yang berbeza, sajak Kekasih bukan sekadar bertemakan cinta antara sang teruna dan dara. Tetapi, Usman Awang sebenarnya melahirkan rasa cintanya yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta. Penyair menggesa, mengajak anak watan mencintai negara dan bersatu dalam rumpun yang sama bagi kemakmuran dan kedamaian tanah air. Hakikatnya, sajak Kekasih menyedarkan khalayak, rakyat negara yang berbilang bangsa terutamanya agar menghargai kedaulatan dan keharmonian yang telah dikecapi oleh negara dan menjadikan peristiwa berdarah memorabilia 13 Mei 1969 sebagai imbauan sejarah yang harus dijadikan pengalaman dan pedoman bererti bagi keamanan negara yang berbilang bangsa.

Puisi-puisi ketuhanan juga turut berkembang dari semasa ke semasa. Dan dikatakan, puisi-puisi berkonsepkan islamik telah bertapak sejak lama dahulu. Melihat salah satu puisi Amir Hamzah berjudul Doa, kita tidak dapat melepaskannya dari ciri khas Amir Hamzah yang suka mengangkat tema-tema agama dan rasa cinta kepada Tuhan yang menciptakan. Amir Hamzah memulakan puisi “Doa”nya dengan memuji-muji Tuhan dan bersyukur kepada-Nya kerana Tuhannya telah memberi kesejukan dan kedamaian yang diibaratkan senja setelah terik matahari memancar.  Perhatikan bait-bait pertama puisi : 

Dengan apakah kubandingkan pertemuan kita, kekasihku?
dengan senja samar sepoi, pada masa purnama meningkat naik,
setelah menghalaukan panas terik,
angin malam mengembus lemah, menyejuk
badan, melambung rasa,
menayang fikir, membawa angan ke bawah kursimu.


Amir Hamzah menginginkan sesuatu dari kekasihnya (Tuhan) sebagai suatu permintaan. Doa yang dipanjatkan oleh Amir Hamzah doa yang penuh cinta. Puisi Doa mengungkapkan tentang harapan penyajak terhadap Tuhan.

Aduh kekasihku, isi hatiku dengan katamu,
Penuhi dengan cahayamu, biar bersinar mataku
sendu, biar berbinar gelakku rayu!


1.3 Pemikiran

Meneliti secara terperinci sajak Kekasih, pengkaji dapat memahami dan meyakini bahawa Usman Awang dapat digolongkan dalam lingkungan penyair besar, bersuara keramat, iaitu mereka yang berkarya dengan tujuan melahirkan pemikirannya dengan bahasa yang cukup indah. Kebijaksaan pemikiran penyair dapat dilihat melalui tiga persoalan iaitu, cinta, kasih sayang dan harapan.

Penyair bukan cuma mengungkapkan perasaannya dalam satu bentuk yang indah, tetapi membawa makna di bawah permukaan hubungan antara dua orang kekasih. Betapa penyair dengan melodi yang lembut dan halus memaparkan percintaan klasik antara seorang pemuda dengan kekasih hatinya. Rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi yang dialami oleh penyair kepada seorang wanita yang mendapat tempat istimewa di hatinya. Lantaran rasa cinta yang mendalam, penyair berasa rindu terhadap kekasihnya. Kerinduan penyair dapat dihayati melalui bait-bait puisi dalam baris yang keenam ini:

Akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu.


Meneliti sajak Kekasih pada perspektif yang lain, dapat dilihat akan pemikiran penyair yang melahirkan semangat cinta yang tidak terhingga kepada tanah air tercinta. Melalui baris-baris aksara yang disusun indah, penyair melagukan suara hati menyuarakan penghargaan yang tulus terhadap negara yang mengecapai keamananan dan kemakmuran. 

Dalam sajak Doa karya Amir Hamzah, kepadatan dan kedalaman makna persoalannya merangkumi aspek perjuangan seorang insan yang bersungguh-sungguh ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Tema dan persoalan yang dikemukakan oleh Amir Hamzah berkenaan dengan konsep ketuhanan, kesetiaan, rasa cinta dan harapan kepada Tuhan. Penyair sebenarnya ingin mengongsikan keharuan dan perasaan tersebut dengan khalayaknya. Amir Hamzah juga ingin pembaca mendapatkan kesedaran.


Aduh kekasihku, isi hatiku dengan katamu,
Penuhi dengan cahayamu, biar bersinar matakusendu, biar berbinar gelakku rayu!
 
Penyajak ingin melahirkan rasa cinta, rindu dan kasihnya kepada kepada Tuhan. Dalam pada masa yang sama, penyajak menggesa dan mengharapkan masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan agar diri tidak jauh dari rahmat dan kurniaNya. Petunjuk dan hidayah dari Tuhan amat diperlukan oleh mukmin.  

            Kalbuku terbuka menunggu kasihmu, bagai
            sedap malam mengorak kelopak.


 Penyajak sedar dan insaf, bahawa hanya kepada Tuhan tempat manusia meminta pertolongan, doa dan harapan serta tempat mengadu nasib. Penyajak menyedarkan kepada manusia supaya mengabdikan diri kepada Tuhan.

1.4 Nilai

Hakikat kerinduan yang mengulit jiwa lelaki penyair begitu mengesankan sehingga diterjemahkannya ke dalam bentuk puisi. Gambaran rasa kasih sayang dan kecintaan terhadap wanita yang membayangkan kehalusan jiwa penyair tersebut juga dikesan dalam puisi ini. Puisi Kekasih merakamkan persepsi dan pemikiran penyair terhadap wanita yang hadir dalam kehidupannya. Nilai kasih sayang inilah yang mendasari pemikiran Usman Awang untuk memupuk dan membina keteguhan kasih sayang sesama manusia melalui setiap stanza puisinya yang berirama merdu ini.

            Kekasih,
            hitunglah mimpi
            yang membunuh realiti
            dengan syurga ilusi.


Dari relung jiwa Usman Awang yang dalam, beliau sebenarnya melahirkan suara rasanya tentang tumpah cintanya akan tanah air. Penyair mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap negara, yakni lebih menjurus kepada kesedaran memupuk cinta sekaligus mengajak rakyat berganding bahu dan bersatu demi kemakmuran tanah air. Nilai cinta yang besar kepada negara inilah yang cuba disampaikan oleh Usman Awang dengan penuh kelembutan dan nada romantis yang mengekalkan nilai estetika dalam puisi Kekasih.

Meneliti sajak Doa karya Amir Hamzah, nilai yang dapat dihayati adalah cinta akan Tuhan. Penyajak mempunyai rasa cinta yang agung kepada Maha Pencipta dan menggesa masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Penyajak sedar, hanya kepada Tuhan manusia dapat bergantung harap dan meminta pertolongan dari-Nya.

Elemen kasih sayang disisipkan oleh Amir Hamzah secara halus dan pembaca dapat merasai suara hati penyajak yang melahirkan rasa cintanya yang tidak berbelah bahagi kepada Tuhannya. Atas rasa cinta itulah, penyajak mengharapkan nur dan keredaan dari Tuhan. Seperti dalam bait-bait rangkap ini:

            Penuhi dengan cahayamu, biar bersinar mataku
            sendu, biar berbinar gelakku rayu!


1.5 Penggunaan gaya bahasa romantis

Kata-kata terbaik adalah kata-kata yang relatifnya cantik dan indah sesuai dengan pemikiran penyair dan tujuan-tujuannya. Demikianlah sifatnya puisi. Sepertimana kata Za’ba, puisi itu karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah serta melukiskan dengan kemanisan dan kecantikan bahasa. Penyair Usman Awang ternyata begitu peka akan bunyi dan bahasa yang lembut, gemersik dan bahasa puitis yang indah sehingga jiwa tertambat tatkala membacanya. Gaya bahasa Usman Awang biasanya lembut, mengalir dan nadanya, pada umumnya, agak rendah. Sajak Kekasih menampilkan unsur fantasi yang ditambah kepada tema cinta dan kasih sayang lantas mengangkat pembaca ke dunia di luar kenyataan. Sajak ini merupakan puisi yang baik untuk suatu gaya tradisonal, iaitu pengulangan baris atau struktur bait yang dikenali sebagai teknik paralelisme.

Sajak Kekasih menggunakan gaya bahasa anafora secara perulangan di awal kalimah "Akan ku...." pada setiap pembuka bait kecuali bait yang terakhir. Imageri "buih-buih", "gelombang-gelombang", "awan-gemawan", "bayu gunung", "bintang timur", "bulan gerhana", "matari"  yang di ambil dari unsur alam melahirkan kesan hidup dalam puisinya. Pemilihan kata yang tepat daripada unsur alam mengundang kelembutan dan keindahan suasananya begitu terserlah dalam puisi ini sehingga menimbulkan kelunakan setiap kalimat yang tergambar dari kesederhanaan perasaan penyair. Buih sifatnya sementara, oleh itu hasrat mengikat buih adalah satu hasrat yang tidak kekal.  

Umumnya, bentuk dan rima puisi ini adalah bebas dan mempunyai lapan rangkap sahaja. Enam rangkap pertama mempunyai dua baris, sementara rangkap yang ketujuh mempunyai tiga baris dan rangkap yang kelapan mempunyai empat baris. Jumlah perkataan dalam baris adalah antara satu hingga empat perkataan sebaris. Melihat kepada jumlah suku kata dalam baris pula, sajak Kekasih mempunyai jumlah antara tiga hingga tiga belas suku kata sebaris.

Daripada gaya penyampaian yang sentiasa mengutamakan ketepatan dan ketelitian pemilihan kata, Usman Awang kerap menggabungkan bunyi huruf vokal iaitu asonansi a, e, i dan huruf u. Sebagai contoh, dalam baris keempat sajak dapat dilihat pengulangan bunyi vokal a, “menjadi baju pakaian malammu.”  Penyair juga menggunakan pengulangan aliterasi, bunyi konsonan m seperti dalam baris ketiga sajak iaitu, “menjadi selendang menudungi rambutmu.”  Gabungan yang seimbang menimbulkan kehalusan dan kemerduan bunyi pengucapan.

Personifikasi – dalam isitilah sastera dinamakan juga perorangan, yang bermaksud memberi kiasan kepada sifat-sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau lain-lain kepada alam. Contohnya, dalam puisi Kekasih, dapat dilihat gaya personifikasi iaitu, “Akan kuanyam gelombang-gelombang,” “Akan kutenun awan-gemawan,” “Akan kujahit bayu gunung.” Selain menimbulkan gaya bahasa personifikasi yang tepat dan segar, ia turut menimbulkan imej rasa hati yang membawa kesatuan perasaan.

Terdapat juga gaya bahasa metafora iaitu, syurga ilusi. Gaya bahasa sinkof dapat dilihat melalui kependekan ayat aku dan kamu – kupintal, kuanyam, kutenun, mengikatmu, tidurmu, rambutmu. Hiperbola merupakan pemakaian kiasan atau perbandingan dengan mengungkapkan sesuatu keadaan atau peristiwa secara berlebih-lebihan. Unsur hiperbola dapat dilihat melalui bait-bait seperti “Akan kujolok bulan gerhana,” “Akan kuanyam gelombang-gelombang,” “Akan kupetik bintang timur,” yang menimbulkan penyusunan kata-kata yang agak berlebih-lebihan namun memberikan kesan makna yang lebih kuat.

Kata-kata yang berganda atau berulang sering digunakan oleh penyair untuk memberikan penekanan kepada mesejnya bagi menunjukkan banyak atau penekanan yang lebih supaya mengesankan kepada pembaca. Lihat ungkapan diksi buih-buih, gelombang-gelombang dan awan-gemawan dalam sajak di bawah:

            Akan kupintal buih-buih
            menjadi tali mengikatmu.
            Akan kuanyam gelombang-gelombang
            menjadi hamparan ranjang tidurmu.
            Akan kutenun awan gemawan
            menjadi selendang menudungi rambutmu.

 
Berdasarkan sajak Kekasih, ternyata penyair terlalu banyak bermain dengan kata-kata yang bombastik iaitu berlebih-lebih dalam hiasan sajak dengan bunga-bunga bahasa yang diselit menerusi gaya metafora, personifikasi dan diksi puitis. Penyair cukup menjaga kemerduan susunan kata yang mengekalkan keharmonian puisi ini.

Dalam sajak Doa karya Amir Hamzah, dapat kita hayati betapa Amir Hamzah sangat kaya dengan bahasa dan perumpamaan, sehingga terasa kedalaman makna yang maslahat dalam setip bait-bait sajaknya. Bahasanya syarat renungan, adakalanya agak kabur dan menggesa kita untuk mencerakin makna. Dengan pola dan irama, Amir Hamzah menyusun kata-kata yang telah dipilihnya secara teratur dari segi perulangan aliterasi dan asonansinya. Perulangan bunyi huruf vokal a dapat dilihat melalui bait-bait; dengan apakah kubandingkan pertemuan kita, kekasihku?  dan juga huruf vokal u; kalbuku terbuka menunggu kasihmu. Sementara itu, perulangan bunyi konsonan m dapat dihayati melalui bait-bait; angin malam menghembus lemah. Betapa Amir Hamzah begitu teliti dalam memilih dan menyusun diksi.

Penggunaan gaya bahasa metafora dan personifikasi yang tepat menimbulkan kemerduan bunyi seperti bait “Kalbuku terbuka menunggu kasihmu” dan gaya personifikasi; “Angin malam menghembus lemah” mewujudkan kehalusan dan kelembutan bunyi diksi. Pemilihan aksara daripada unsur-unsur alam seperti “senja samar sepoi,” “purnama,” “angin malam,” dan “sedap malam mengorak kelopak,” membangkitkan keindahan bunyi sehingga pembaca dapat merasai suara hati dan emosi penyair.

Kalimat yang dipilih secara teliti menimbulkan kesatuan gambaran atau pemikiran yang menggerakkan imaginasi penyair. Amir Hamzah juga menggunakan gaya bahasa simile seperti bait-bait di bawah ini:

            Hatikku terang menerima katamu, bagai bintang
            memasang lilinnya.
            Kalbuku terbuka menunggu kasihmu, bagai
            sedap malam mengorak kelopak.


Secara tuntasnya, bahasa yang digunakan oleh penyair sememangnya sederhana, bentuknya yang terbina daripada baris-baris yang agak ringkas di samping nada dan melodi yang rendah, lembut bertepatan dengan matlamat penghasilan puisi beliau yang melahirkan rasa cinta dan penghargaan kepada Tuhan.

1.6 Matlamat karya dihasilkan

Kelahiran sajak ini ada kaitan dengan rasa cinta yang menebal di hati penyair kepada kekasihnya. Berdasarkan puisi Kekasih, jelas memaparkan pemikiran penyair terhadap wanita pujaannya yang dapat ditelusuri melalui puisinya ini. Pada keseluruhannya, sajak Kekasih memaparkan rasa penghormatan dan kasih sayang terhadap wanita. Gambaran ini dapat dihayati pada tema dan persoalan puisinya yang mengungkapkan perasaan cinta, kasih dan penghargaan terhadap wanita. Penyair juga berasa cinta kepada kekasihnya dan penyair sanggup berbuat apa sahaja demi kekasih hatinya itu.

Jika dilihat dari skop yang berbeza, penciptaan sajak Kekasih ini juga ada kaitan dengan rasa penghargaan, kesetiaan dan rasa cinta penyair kepada tanah air. Barangkali, penyair terkesan dengan peristiwa buruk yang pernah merobohkan tembok keutuhan rakyat berbilang kaum sehingga tali perpaduan hampir terlerai ekoran terjadinya memorabilia 13 Mei 1969. Bertitik tolak dari peristiwa itu, penyair menggesa rakyat agar bangkit, bersatu demi kekukuhan pohon perpaduan agar tidak goyah diterpa anasir luar demi kedaulatan, kedamaian dan keharmonian negara.

Menghayati puisi Doa, penciptaan sajak Amir Hamzah ada kaitan dengan naluri jiwa penyajak yang ingin mengungkapkan rasa kasih dan cinta kepada Tuhannya. Penyajak berasa sedar bahawa setiap harapan yang diinginkan, doa yang dipohonkan hanyalah kepada Maha Pencipta. Dalam setiap doanya, penyajak menginginkan nur dan keredaan dari Tuhannya untuk menerangi lorong kehidupannya.

1.7 Kesimpulan

Kritikan mengenai kata-kata yang mengandungi makna tersirat dalam sajak Kekasih, didebatkan dengan pelbagai pandangan. Pada pandangan pertama, sajak ini akan dilihat sebagai sajak yang ditujukan kepada kekasih (manusia) tetapi melalui tafsiran yang berbeza, bait-bait sajak ini dapat dilihat daripada aspek agama dan tanah air.  Penyair sebenarnya ingin melahirkan rasa kesetiaan dan cinta kepada negara.

Melalui perspektif ini juga, dapat dilihat kepintaran dan kedalaman akal fikiran seorang penyair itu mencurahkan isi hati dan rasanya menjadi sebuah sajak yang penuh bermakna untuk para pembaca. Penggunaan kata bintang timur yang jelas menunjukkan bahawa betapa bijaknya penyair memberi analogi kepada pembaca dengan mengaitkan bintang timur dengan hati. Jika tidak ditafsir, maka makna sebenar yang terkandung dalam sajak ini dan nilai yang dibawanya tidak dapat dinikmati dengan sewajarnya.

Sebagai kesimpulannya, dalam sajak Doa karya Amir Hamzah, penyajak banyak mengungkapkan persoalan bertemakan ketuhanan yang dapat memberi pengajaran dan teladan kepada masyarakat. Amir Hamzah menggunakan bahasa yang lembut, halus, dan romantis dalam pengucapan kata-katanya sehingga menyentuh jiwa pembaca.


Nur Suhada binti Sayuti
Fakulti Penulisan ASWARA
Alhamdulillah,  
Subjek Kesusasteraan Melayu, semester satu Julai 2011
terima kasih kepada pensyarah Cik Fatiha Fadila.

No comments: